Friday 29 July 2011

Program Khidmat Masyarakat Orang Asli Citra Siswa Rakyat


Pada 18 hingga 24 Jun 2011, Fakulti Sains Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia telah menganjurkan Program Khidmat Masyarakat Orang Asli Citra Siswa Rakyat yang bertempat di perkampungan orang asli Pos Bersih Ulu Slim, Slim River Perak. Keanggotaan peserta yang telah dihantar dari Persatuan Pendidikan Moral UPSI adalah seramai 20 orang yang mana terdiri daripada 10 orang lelaki dan 10 orang perempuan. Aktiviti yang pertama adalah pada 20 Jun (Isnin), bermula jam 10.00 pagi iaitu Aktiviti Di Kelas Tadika (Melukis dan Mewarna). Di bawah penyelaras Prof. Madya Dr. Ratumutialela, aktiviti ini melibatkan kanak-kanak di tadika ini bermatlamat untuk menjana perkembangan minda kanak-kanak orang asli di kampung tersebut disamping membentuk pemikiran yang kreatif dan kritis.

Aktiviti melukis dan mewarna berakhir pada jam 1.00 tengah hari. Pada hari yang sama, bermula jam 2.30 petang, aktiviti diteruskan dengan Aktiviti di Kelas Wanita (Ceramah & Memasak). Sasaran utama peserta bagi aktiviti ini adalah kepada kaum ibu dan remaja-remaja perempuan orang asli Kampung Pos Bersih. Melalui aktiviti ini, golongan wanita dan remaja masyarakat orang asli telah diajar dan berkongsi aktiviti asas seperti penyediaan makanan dan usaha-usaha lain bagi menjana ekonomi keluarga. Bahan mentah yang utama digunakan adalah berasaskan ubi dalam usaha menghasilkan sumber makanan seperti penghasilan kuih. Antaranya ialah lepat ubi, kerepek ubi dan sira ubi. Pendedahan pemprosesan penghasilan kuih-kuih ini telah dilakukan oleh ahli-ahli Persatuan Pendidikan Moral melalui demo masakan. Objektif aktiviti ini ialah bagi meningkatkan pengetahuan serta kemahiran dengan memanfaatkan sumber alam sekeliling disamping memberi cabang sumber kewangan dalam usaha meningkatkan ekonomi keluarga masyarakat orang asli yang lebih baik. Aktiviti seterusnya adalah pada 23 Jun (Khamis) bermula pada  10.00 pagi, iaitu pameran makanan dan kuih yang dihasilkan melalui bahan utama iaitu ubi kayu. Aktiviti yang berlangsung hampir 3 jam ini bertujuan bagi memberikan pengetahuan dan kesedaran kepada masyarakat terutamanya masyarakat Orang Asli Pos Bersih supaya dapat memanfaatkan sumber alam dalam menghasilkan bahan makanan.

Majlis perasmian penutup kemudiannya telah diadakan pada jam 2.00 petang oleh Yang Berhormat Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Kementerian Pengajian Tinggi dengan simbolik menyumpit belon dengan menggunakan sumpit. Diharapkan melalui program ini, semua pihak yang terlibat memperoleh input yang berguna untuk diaplikasikan dalam kehidupan seharian. Jutaan terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang menjayakannya. Semoga program sebegini dapat diadakan lagi pada masa akan datang. Disediakan oleh : Mohd Amirulasraf Bin Zulkefli, Pengarah Program  Khidmat Masyarakat Orang Asli Citra Siswa Rakyat, Perkampungan Orang Asli Pos Bersih, Ulu Slim, Slim River, Perak Darul Rizuan.

1 comments:

tahniah semua peserta yang terlibat yang di ketuai mirul bakal presiden permor...tahniah!!!!

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More