Friday 18 February 2011

Kata-kata aluan Presiden PERMOR sempena pelancaran buletin PERMOR

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera…

                  Alhamdulillah, bersyukur kita kehadrat ilahi kerana dengan limpah kurnia dan keizinanNya usaha untuk menerbitkan buletin Persatuan Pendidikan Moral ini telah dapat disempurnakan. Saya merasakan masih tidak terlambat untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua warga Persatuan Pendidikan Moral (PERMOR) yang telah memberi kepercayaan kepada saya untuk menggalas tanggungjawab selaku Presiden Persatuan Pendidikan Moral (PERMOR) ini. Insya’allah saya akan memikul tanggungjawab ini dengan semampu yang mungkin. Untuk pengetahuan semua ahli Persatuan Pendidikan Moral, usia persatuan kita baru setahun jagung (3 tahun) jika kita hendak bandingkan dengan persatuan-persatuan yang bernaung dibawah HEPA, UPSI yang lain. Namun, saya percaya dengan berkat sokongan semua ahli persatuan kita mampu berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan persatuan lain di UPSI ini.
            Setakat hari ini, saya masih berusaha meletakkan Persatuan Pendidikan Moral ini ditahap yang memberangsangkan. Persatuan Pendidikan Moral (PERMOR) ini dibarisi seramai 32 orang ahli Major pendidikan moral yang akan cuba sedaya upaya untuk melaksanakan program yang bersesuaian dengan matlamat dan objektif persatuan PERMOR iaitu mewujudkan perhubungan yang baik serta harmoni di antara semua pelajar Program Pendidikan Moral (Major dan Minor) dengan pensyarah-pensyarah, ketua-ketua jabatan, dekan fakulti, pihak HEPA dan semua warga UPSI serta masyarakat luar.
                  Di kesempatan ini juga saya ingin memaklumkan bahawa keahlian PERMOR ini bukan sahaja dikhususkan kepada pelajar yang mengambil kursus Pendidikan Moral (AT 41) sebagai Major malah pelajar Minor Pendidikan Moral juga diwajarkan untuk bersama-sama kita mengikuti setiap program dan perkembangan PERMOR. Walaupun penglibatan anda semua dalam persatuan ini tidak dibayar dengan wang ringgit, saya percaya pengalaman yang kita perolehi lebih berharga daripada segala-galanya.
              Harapan saya, usaha penerbitan buletin seumpama ini perlu diteruskan pada masa akan datang. Hal ini demikian kerana, ianya juga merupakan salah satu alternatif media komunikasi sesama kita selain facebook, blog dan sebagainya. Saya juga mengharapkan kerjasama pensyarah-pensyarah yang mengajar jurusan Pendidikan Moral di UPSI dan ahli PERMOR yang lain untuk menghantar penulisan peribadi yang berbentuk ilmiah kepada Exco Publisiti dan Informasi, PERMOR untuk dikongsi bersama.
               Akhir kalam, saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada saudara Tommy B. Mathew dan saudara Harith Wanwiklai A/L Feen selaku Exco Publisiti dan Informasi PERMOR atas usaha menghasilkan buletin ini dan tidak lupa juga ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pihak yang telah memberi kepercayaan kepada saya untuk memikul tanggungjawab dalam PERMOR ini….Assalamualaikum.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More