Friday 20 January 2012

Selamat Tahun Baru Cina 2012

Selamat menyambut Perayaan Tahun Baru Cina kepada seluruh warga Universiti Pendidikan Sultan Idris yang meraikannya.

Thursday 22 December 2011

SELAMAT MENDUDUKI PEPERIKSAAN AKHIR

Wednesday 21 December 2011

PERTANDINGAN MENYEDIAKAN SAJIAN RINGKAS


       Program Pertandingan Menyediakan Sajian Ringkas merupakan antara salah satu daripada tiga program yang digabungkan menjadi sebuah program yang diberi nama Program Amal dan Jalinan Muhibbah. Sepanjang program ini berlangsung iaitu pada hari Ahad, 18 Disember 2011 bertempat di Foyer Kolej Aminuddin Baki (KAB), segala yang dirancang berjalan dengan lancar. Setiap AJK menjalankan tugas dengan baik serta saling membantu antara satu sama lain. Ternyata, melalui program seperti ini, bakat dan kreativiti yang ada dalam diri peserta dapat dicungkil dan ditonjolkan dengan cara yang baik. Malah, program ini juga dapat mengeratkan silaturahim antara pelajar major dan minor Pendidikan Moral. Ini terbukti melalui penyertaan pelajar minor iaitu sebanyak dua kumpulan dalam pertandingan ini.
            Selain itu, pertandingan ini juga dapat meningkatkan daya saing antara peserta yang terlibat iaitu seramai 10 orang. Mereka masing-masing bersaing untuk menyiapkan hidangan mengikut cara dan kreativiti mereka yang tersendiri. Akhirnya, pertandingan ini telah dimenangi oleh peserta daripada Semester 5 yang menunjukkan bakat dan kreativiti yang baik dalam mempersembahkan sajian ringkas mereka pada hari tersebut.       
Secara keseluruhannya, tindakan menggabungkan ketiga-tiga program ini juga merupakan langkah yang bijak kerana mampu menarik lebih ramai pelajar untuk turut serta dalam aktiviti yang dianjurkan pada hari tersebut seperti explorace, sukaneka, pertandingan futsal, dan sebagainya. Diharap program seperti ini dapat dijalankan lagi pada masa hadapan berikutan sambutan yang menggalakkan daripada para pelajar Pendidikan Moral. Segala kerjasama dan bantuan yang telah diberikan sama ada secara langsung atau tidak langsung saya dahulukan dengan ucapan terima kasih.  
Disediakan oleh: Nurul Aziha Binti Asmuni, Pengarah Program Pertandingan Menyediakan Sajian Ringkas.

PROGRAM MEMASAK BUBUR KACANG AMAL PERDANA



        Pada 18 November 2011 (Ahad) Persatuan Pendidikan Moral, UPSI (PERMOR) telah mengadakan satu program amal iaitu program memasak bubur kacang amal perdana yang bertempat di belakang surau Al-Falah. Program ini dianjurkan adalah disebabkan untuk mengeratkan lagi hubungan silaturrahim antara ahli-ahli Persatuan Pendidikan Moral disamping mewujudkan tuntutan bersedekah dalam kalangan mahasiswa/i dan disertai dengan amalan bersedekah yang berkaitan dengan penekanan terhadap aspek kerohanian.
Program ini juga menginginkan masyarakat, pelajar dan warga UPSI merasai dan menyelami akan nilai makanan dan menghargainya. Selain itu, melalui aktiviti memasak bubur kacang dan mengagihkan kepada masyarakat setempat ini mampu melahirkan nilai kerjasama antara mereka dan juga masyarakat luar serta dan perasaan syukur dalam dalam diri individu yang terlibat. Pendedahan terhadap program sebegini membantu dalam melahirkan modal insan yang selaras dengan falsafah pendidikan negara iaitu memenuhi aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek.
Program Memasak Bubur Amal Perdana Persatuan Pendidikan Moral telah berjaya mencapai objektif yang telah ditetapkan. Semua AJK pelaksana dan ahli persatuan Pendidikan Moral bersama-sama bertungkus lumus menjayakan program ini telah menjalinkan pertalian yang baik sesama ahli persatuan dan warga UPSI. Objektif program bukan sahaja bertujuan untuk melakukan aktiviti kemasyarakatan dengan bersedekah tetapi untuk mengaplikasikan nilai kerjasama dalam kalangan masyarakat, pelajar UPSI dan pensyarah yang mana sesuai dengan mahasiswa/I yang bakal menjadi pendidik. Semoga dengan program ini, silalaturahim antara sesama ahli Persatuan Pendidikan Moral akan menjadi lebit erat.
Disediakan oleh Syukur Bin Saleh, Pengarah Program Memasak Bubur Kacang Amal Perdana PERMOR.

PROGRAM HARI MUHIBBAH PERMOR 2011


  Pada 18.12.2011, Persatuan Pendidikan Moral telah menganjurkan Program Hari Muhibbah PERMOR yang bertempat di Padang Kolej Aminuddin Baki. Program ini bertujuan untuk memberi peluang kepada para mahasiswa/i untuk menghayati semangat kerjasama dalam setiap aspek kehidupan termasuk aspek kesukanan selain dapat mengeratkan hubungan silaturrahim antara pelajar Pendidikan Moral (AT41) dari semester 1 hingga semester 8 termasuk pelajar yang mengambil minor Pendidikan Moral. Program ini juga dapat mengembangkan bakat pelajar Pendidikan Moral dalam semua bidang termasuk bidang sukan. Terdapat beberapa acara yang dipertandingkan dalam program Hari Muhibbah ini seperti sukaneka, explorace dan juga street soccer.
            Antara objektif lain hari muhibbah PERMOR ini diadakan adalah untuk :
  1. Meningkatkan semangat perpaduan, kefahaman berlainan budaya dan semangat keprihatinan sesama ahli persatuan melalui aktiviti sukan yang dilaksanakan selaras dengan konsep ”Satu Malaysia”.
  2.  Menghargai komitmen yang ditunjukkan oleh ahli persatuan di atas setiap program yang dilaksanakan oleh persatuan.
  3.  Dapat memberi peluang kepada pelajar Pendidikan Moral untuk menunjukkan bakat kesukanan yang mereka ada.
  4. Mewujudkan kerjasama dan semangat juang yang tinggi dalam menjayakan program persatuan.Merapatkan silaturahim antara Mahasiswa/i dan pensyarah kursus.
Program ini berjaya mencapai objektif tersebut. Saya berharap program ini dapat diteruskan supaya hubungan antara ahli PERMOR dan pensyarah terus terjalin dan dapat melahirkan mahasiswa yang produktif.
Disediakan oleh : Lukman Bin Mohammad, Pengarah Program Hari Muhibbah PERMOR 2011.

Friday 16 December 2011

Ceramah Penggunaan Real Life Dilemma Dalam Pengajaran Pendidikan Moral



            Pada 07 Disember 2011, persatuan Pendidikan moral telah menganjurkan program bersifat akademik kepada mahasiswa/i yang mengambil program Pendidikan Moral sebagai panduan kepada mereka apabila menjadi guru kelak. Atas dasar kepentingan pegetahuan tersebut maka program yang bertemakan “Memperkasakan Teknik Pengajaran dan Pembelajaran bilik darjah” yang telah disampaikan oleh Dr. Vishalache Balakrishnan selaku pensyarah kanan Universiti Malaya berjaya diadakan pada hari tersebut.
Melalui program tersebut, seramai 20 orang ahli persatuan telah dilantik sebagai ahli jawatankuasa dan kebanyakanya adalah dalam kalangan mereka yang baru sahaja berjinak-jinak dengan program persatuan. Berdasarkan kehadiran yang telah diambil, kedatangan adalah dalam lingkungan 70-80 orang sahaja. Memang tidak dinafikan bahawa program bersifat ilmiah terutamanya berbentuk ceramah, forum dan konvensyen sememangnya kurang diminati oleh setiap mahasiswa/i namun apa yang perlu dititik beratkan adalah ilmu yang kita perolehi.
Setelah program dirasmikan oleh Prof. Dr. Chang Lee Hoon maka sesi ceramah telah diambil alih oleh Dr. Vishalache selama 2 jam. Bagi mengelakkan peserta mengantuk semasa sesi ceramah maka beliau telah bertanyakan beberapa soalan kepada peserta yang hadir. Beliau turut memberi kesempatan kepada Edward Batin dan Wan Muhammad Firdaus untuk mengetuai ahli yang hadir bagi membuat senaman ringkas (Chicken dance). Setelah selesai sesi ceramah, beberapa soalan telah dikemukakan oleh peserta termasuk Prof. Dr. Chang Lee Hoon. Kemuncak bagi Program “ceramah Penggunaan Real Life dilemma” adalah penyampaian cenderahati kepada penceramah. Keberangkatan pulang penceramah dan tetamu jemputan diiringi oleh muzik gamelan dan para peserta disediakan makanan ringan yang telah disediakan.
Terus setia bersama PERMOR...
Disediakan Oleh: Edward Batin Anak Wil, Presiden Persatuan Pendidikan Moral sesi 2011/2012

Tuesday 13 December 2011

PROGRAM AMAL DAN JALINAN MUHIBBAH PERMOR 2011

Sunday 27 November 2011

Program Malam Warisan Bangsa Malaysia Dan Watikah Perlantikan Barisan Kepimpinan Persatuan Pendidikan Moral Sesi 2011/2012


Tanggal 18 Noveber 2011, persatuan pendidikan Moral (PERMOR) telah menganjurkan Program Malam Warisan Bangsa Malaysia dan Watikah Pelantikan Barisan Kepimpinan Persatuan Pendidikan Moral Sesi 2011/2012 yang bertempat di Ruang Dataran Auditorium Utama. Program ini dianjurkan bagi meningkatkan semangat perpaduan, kefahaman berlainan budaya dan semangat keprihatinan sesama ahli persatuan selain memberi pengiktirafan kepada barisan pucuk kepimpinan Persatan Pendidikan Moal (PERMOR). Program yang bermula jam 8.00 Malam itu, bermula dengan nyanyian lagu Negaraku dan Lagu Ibu Kandung Suluh Budiman. 


Malam indah yang dikendalikan oleh saudari Syukriah selaku pengacara majlis diteruskan dengan bacaan doa yang dikepalai oleh saudara Shukor diikuti ucapan alu-aluan oleh pengerusi PERMOR sesi 2011/2012, Edward Batin Anak Will. Program tersebut dirasmikan oleh Ketua Jabatan Program Kemasyarakatan dan Kewarganegaraan, Dr. Suhaimi Bin Lazim. Seterusnya Slot penyerahan Perlembagaan PERMOR disempurnakan oleh mantan Presiden PERMOR sesi 10/11 disaksikan oleh Penasihat PERMOR Prof. Madya Dr. Ratu Mutialela Caropeboka. 


Seterusnya, Malam Warisan Bangsa ini diharmonikan dengan pelbagai persembahan yang diwakili pelajar pendidikan moral semester satu hingga semester lapan. Pengendali majlis malam tersebut bertukar ke tangan pasangan Baharudin dan Siti Fairuz. Telatah mereka membuatkan penonton tidak kering gusi ketawa. Persembahan saudara Mohd Zuraihan Abdullah yang melenggokkan suara seakan-akan anuar zain memukau tetamu dengan lagu Harapan. Selain itu, persembahan Tae Kwan Do dan sajak yang dideklamasikan oleh Abdul Aziz juga mencuri perhatian tetamu pada malam tersebut. Selingan antara persembahan, tetamu dihidangkan dengan cabutan bertuah serta penyampaian cenderahati kenang-kenangan kepada barisan kepimpinan sesi 2010/2011. Semoga program sebegini dapat dijadikan sebagai program tradisi PERMOR. Disediakan oleh Mohd Sabree Bin Abu Bakar, Pengarah Program Malam Warisan Bangsa Malaysia dan Watikah Pelantikan Barisan Kepimpinan PERMOR Sesi 2011/2012.

Program Pertandingan Pengisahan Kenegaraan Peringkat Kebangsaan 2011


Pada 25 November 2011(Jumaat), Persatuan Pendidikan Moral, UPSI (PERMOR) telah dijemput untuk menyertai Program pertandingan pengisahan kenegaraan Peringkat Kebangsaan bertempat di Jabatan Arkib Negara, Jalan Duta Kuala Lumpur. Pada asalnya, program tersebut hanya memerlukan penyertaan seramai 20 orang tetapi telah ditambah kapasiti kepada 40orang memandangkan komitmen yang tinggi telah diberikan oleh ahli persatuan. Dengan peluang yang ada ini, seramai 40 orang ahli persatuan telah mengikuti program ini yang diketuai oleh Presiden Persatuan dan 8 orang Exco PERMOR. Dengan berbekalkan semangat juang yang tinggi dan minat yang mendalam terhadap program Persatuan maka ahli persatuan telah bersama-sama mengorbankan masa dan tenaga seharian bagi menjayakan lagi program tersebut.
Walaupun, program ini dianjurkan dalam masa sehari namun pelbagai manfaat yang dapat diperolehi antaranya adalah berkenaan dengan pembangunan negara dan mengenang jasa tokoh-tokoh yang telah berjuang demi negara yang tercinta. Pertandingan tersebut telah membabitkan 13 buah negeri. Pada hari tersebut hanya 7 buah sahaja negeri yang bertanding dan 6 buah lagi negeri telah bertanding pada 24 November 2011 Sesungguhnya, pertandingan pengisahan kenegaraan ini dapat menyedarkan rakyat Malaysia secara amnya dan mahasiswa/i khususnya. Melalui program ini, terdapat beberapa objektif yang telah dicapai walaupun tidak dirancang seperti program-program yang lain. Dari program ini, mahasiswa/i dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara ahli persatuan dan saling berkenalan antara satu sama lain.
Program yang dianjurkan oleh Jabatan Penerangan Malaysia ini merupakan sebahagian daripada program persatuan disebabkan persatuan telah diberikan kepercayaan untuk bersama-sama memastikan program berjalan dengan lancar dan memeriahkan lagi pertandingan tersebut. Melalui program tersebut, kami dari barisan exco berasa berbangga kerana kehadiran ahli tersebut membuktikan bahawa ahli persatuan memberi sokongan yang tidak terhingga kepada kami dan sanggup bersama-sama kami memastikan persatuan mencapai matlamat yang termaktub dalam perlembagaan Persatuan. Oleh: Edward Batin Anak Wil, Presiden persatuan Pendidikan Moral (PERMOR)

Tuesday 15 November 2011

MALAM WARISAN BANGSA MALAYSIA DAN WATIKAH PERLANTIKAN BARISAN KEPIMPINAN PERSATUAN PENDIDIKAN MORAL SESI 2011/2012



MALAM WARISAN BANGSA MALAYSIA DAN WATIKAH PERLANTIKAN BARISAN KEPIMPINAN PERSATUAN PENDIDIKAN MORAL SESI 2011/2012

TARIKH : 18/11/2011 (JUMAAT)
MASA : 8.00 MALAM - 11.00 MALAM
TEMPAT : RUANG BELAKANG AUDITORIUM, UPSI

SEMUA PELAJAR PROGRAM PENDIDIKAN MORAL DIJEMPUT DATANG BERAMAI-RAMAI UNTUK MEMERIAHKAN MAJLIS TERSEBUT.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More